Click me :)

Wednesday 9 February 2011

BELAJAR MENCINTAI DIRI SENDIRI

Jom hari ini saya bawa kesah sedih satu rumahtangga yang saya kira tak adil bagi seorang isteri diperlakukan begitu.
Kesah ini saya petik dari satu catatan seorang pengunjung dcck pada tahun 2007 dulu..pengunjung ini menamakan dirinya ibu.

Kesah yang diceritakan oleh ibu begini.....

''Saya baru tiga tahun berkahwin mempunyai seorang anak yang belum pun berusia setahun, tetapi suami saya sudah mula membuat hubungan dengan perempuan lain yang sepejabat dengannya pada awal usia perkahwinan kami lagi.

''Saya tak pernah menduga perkahwinan kami yang setahun jagung ini sudah mula menuju kehancuran. Saya amat sayangkan suami saya Izani, tapi malangnya semakin saya menyayanginya, dia lari semakin jauh meninggalkan saya sendirian.

''Setiap hari selepas balik ke rumah, dia akan keluar semula dengan pelbagai alasan hinggakan saya bosan bertanya. Dia tinggalkan saya dengan anak yang masih kecil. Dia tak peduli sama ada anak kami demam ke, sakit perut ke, semuanya dia lepaskan pada saya menguruskan. Pandai-pandai sayalah yang kurang pengalaman ini menenangkan anak yang menangis.

''Perubahannya membuatkan saya mengesyaki sesuatu yang tidak baik memenuhi hatinya. Setelah diperhatikan dugaan saya tepat, Izani main cinta dengan pekerja baru yang buat latihan kerja di pejabatnya.

''Macam cerita yang biasa saya baca dalam ruangan DCCK ini, telefon dan SMS juga menjadi punca bencana dalam keluarga kami. Bila ditanya mengapa dia suka sangat bertelefon dan menghantar SMS, jawapannya saja berSMS dengan kawan-kawan.

''Tapi kita bukan bodoh, kita pun pandai SMS, bila saya tengok ketika dia terlupa membawa telefon ke bilik air, jelas dia sedang bercinta. Perkataan yang diluahkan tidak pernah diucapkan kepada saya ketika kami bercinta apa lagi setelah berkahwin. Perkataan cinta, sayang, love u, miss u, sentiasa ada di hujung SMSnya. Hati isteri mana yang tak terguris? Kita tahu SMS itu bukan kepada kawan biasa tetapi orang tengah mabuk cinta, dia mabuk berangan.

''Saya menyedari perubahannya ketika mengandung anak sulung. Hati siapa yang tak sakit. Apa alasannya bercinta lagi, sedangkan saya masih muda, apa kurangnya saya. Kalau saya tak cantik dan tak sesuai tentu kami tak kahwin. Saya belum kerepot, belum ada anak ketika itu. Kadang-kadang tu saya kesal berkahwin terlalu awal dan mempunyai suami terlalu muda.

''Semasa dalam pantang dan tinggal di rumah emak, perasaan saya amat tertekan, kerana dia jarang balik awal menjenguk saya bersama bayi yang baru dilahirkan. Di manakah letaknya perasaan kasih sayangnya kepada saya selama ini? Apakah dia tidak sayangkan anak kami ini?

''Dari mula kahwin hobinya memang balik lewat malam, mulanya saya tak marah sangat sebab duduk rumah emak, tentulah dia tak selesa, nak pindah katanya, duit tak cukup. Tetapi ketika dalam pantang dia keluar jamming dengan kawan-kawan, alasannya dia tension duduk rumah dan nak lepaskan penat banyak kerja di pejabat.

Dia fikir saya tak bekerja? Saya pun ada masalah di pejabat, saya pun nak relaks, nak tenangkan fikiran. Tetapi setiap kali balik pejabat, saya seorang menguruskan anak, dia entah ke mana, siapa tak sakit hati.

''Kerana setiap hari balik lambat emak saya mula bersuara, dan bertanya laki orang lain gembira dapat anak, suka bermain dengan anak, tapi mengapa suami saya lebih suka duduk di luar rumah?

''Mulanya saya pekakkan telinga kerana percayakan suami, tetapi saya lihat bila di rumah dia lebih suka termenung. Bila saya tanya dia kata dia terasa dengan saya, sebabnya dia tak bagi tahu. Kerana malu bertengkar, akhirnya kami berdiam diri dan bermasam muka tak bercakap berminggu-minggu. Tetapi depan emak saya berlakon seolah-olah tak berlaku apa-apa.

''Namun firasat isteri memang tepat, cerita dia bercinta memang betul, bila saya cek bil telefonnya rasa macam nak pengsan, rupa-rupanya bila dia keluar dia habiskan masa bergayut bertelefon perempuan itu tengah hari, petang dan malam. Kerana dia tak mahu bercakap dan berbincang dengan saya, saya hantar SMS dan tanya dia adakah dia masih sayangkan anak dan saya lagi?

''Katanya dia sayangkan anak, tetapi dengan saya entahlah, siapa tak sakit hati. Bila saya tanya pasal perempuan itu, dia melenting, dan menyalahkan saya apa yang berlaku berpunca dari saya. Perempuan itu tak ada kena-mengena. Dia cuma meluahkan masalahnya pada perempuan itu. Dalam masa sama dia mahu saya lepaskan dia dan nak pulang ke rumah emaknya. Apa dah jadi? Suami minta cerai dari isteri ke?

''Kerana terlalu sayangkan suami, saya mengadu pada emak dan emak terus nak jumpa besannya berbincang. Bincang tak sudah sekali, emaknya bertangguh nak bincang dengan Izani sementara Izani tak balik rumah. Dia tinggalkan saya dan anak.

''Lepas seminggu emak Izani kata dia tak boleh masuk campur masalah rumah tangga kami. Katanya Izani dah dewasa, boleh buat keputusan sendiri, lagipun kata ayahnya mereka tak mahu memaksa. Dia suruh saya fikir apa patut saya lakukan. Kerana sayangkan usia perkahwinan yang mentah, emak cadangkan saya dan Izani cari rumah sendiri, mungkin kami boleh berbaik.

''Saya jelaskan, sejak mula kahwin saya suruh cari rumah sewa, tetapi Izani tak mahu. Katanya tak ada masalah duduk dengan mentua, lagipun dia nak beli rumah, jadi untuk sementara bolehlah kumpul duit. Saya setuju sebab tu tak pindah.

''Tetapi sekarang Izani menyalahkan saya kerana duduk rumah emak. Bukankah ini pilihannya? Tetapi kerana sayangkan suami, saya memujuknya. Ingatkan anak. Saya boleh maafkan dia dan sanggup berkorban apa saja demi pertahankan perkahwinan ini. Tetapi Izani menolak mahu bercerai.

''Dari bulan ke bulan saya menunggu dia kembali, tetapi hampa, hinggalah setahun. Saya malu bila ada saudara-mara bertanya mana suami saya. Semuanya saya rahsiakan. Saya tidak kisah kalau Izani tak mahu bagi nafkah anak asalkan dia mahu pulang ke pangkuan kami. Tapi semuanya hampa.

''Dalam pada itu hubungan Izani dengan perempuan itu berjalan terus hingga saya dengar mereka hendak bertunang. Bila nak bertunang barulah Izani berusaha uruskan perceraian. Saya amat kecewa perkahwinan setahun jagung berakhir dengan perceraian. Di manakah janji Izani untuk membahagiakan saya? Rasa kesal benar-benar menikam jiwa saya.

''Kerana perceraian kehendak Izani maka saya membuat tuntut mutaah, nafkah anak selama lebih setahun saya ditinggalkan. Ketika itu hati saya sudah tertutup untuk Izani, kerana saya sedar dia tidak memerlukan saya lagi, dan saya berasa terlalu bodoh menyintai orang yang tidak menyintai kita.

''Mulai awal tahun ini saya berazam membesarkan anak sendiri. Saya berazam majukan lagi pekerjaan saya. Untuk itu saya melanjutkan pelajaran sebagai penuntut luar kampus. Saya rasa hanya dengan pelajaran dan pekerjaan, saya boleh membina hidup lebih baik, saya tidak boleh bergantung hidup dan harapkan suami untuk membahagiakan saya dunia dan akhirat.

''Tetapi cerita baru yang saya dengar, tunang Izani memaksa perkahwinan disegerakan dengan hantaran RM10,000 serba satu. Dia meminta disediakan rumah sewa kerana tidak mahu tinggal dengan mentua. Saya sedar permintaan ini akan membuatkan hidup Izani lebih teruk sebab gajinya terpaksa dipotong untuk nafkah anak dan mutaah saya. Jadi macam mana dia harus sediakan semua itu? Mungkin masalah ini selesai jika ibunya membantu.

''Saya sedar mencintai suami bukanlah yang terbaik bagi saya. Saya sepatutnya mencintai diri sendiri barulah hidup lebih bahagia. Bila mengingatkan ini saya teringat kepada lagu Inggeris The Greatest Love of All, nyanyian Whitney Houston antara lirik yang tersemat di jiwa saya ialah, ''I found the greatest love of all is inside of me… learning to love yourself it's the greatest love of all.''

''Sejak itu saya boleh melupakan Izani dan yakin boleh majukan diri dengan ilmu bukan bercinta. Cinta tak ke mana. Saya bertuah kerana keluarga khususnya ibu bapa menyokong kuat apa juga pendirian saya setelah gagal memujuk Izani dan keluarga.

''Kata ibu, saya mesti berusaha memperbaiki diri supaya tidak diperlekehkan. Kalau kita berduit semua orang suka, tapi kalau tak berpelajaran, tidak bekerja, apa lagi tak berduit, orang akan hina kita. Kata ibu, saya mesti ada own dignity. Jangan bodohkan diri. Kalau orang tak suka, jangan terkejar-kejar orang yang tak sayang kita.

''Kini saya banyak berdoa, solat dan solat hajat supaya apa yang saya cita-citakan menjadi kenyataan demi masa depan kami anak-beranak. Saya tahu Allah tidak akan sia-siakan doa orang yang teraniaya. Saya juga berharap hasrat saya menamatkan pelajaran akan menjadi kenyataan. Saya tak perfect tetapi saya boleh berusaha untuk berubah kepada kebaikan,'' demikian cerita Ruby tentang rumah tangganya yang hancur, tentang harapan dan masa depannya.

Bila membaca kisah Ruby saya teringat kisah seorang peminat ruangan DCCK yang kisahnya dipaparkan hampir 18 tahun lalu. Dulu ketika diceraikan, beliau seorang kerani, tetapi berkat usaha dan kesedaran yang ada dalam dirinya, beliau melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi dan kini berjawatan sebagai Penolong Pengarah di sebuah jabatan kerajaan. Kejayaan beliau amat mengagumkan saya, dan tiga orang anaknya yang langsung tidak mendapat nafkah dari ayah mereka juga lulusan IPTA dan menjawat jawatan penting dalam syarikat swasta dan kerajaan. Tahniah! Semoga Ruby berjaya seperti beliau. Tidak ada apa yang mustahil kalau ada kesedaran, bersemangat dan rajin berusaha.

Begitulah kesah sedih wanita bernama Ruby...hampir mengalir air mata saya membaca kesah itu..kenapa terlalu gamaknya suami si Ruby sedangkan perkahwinannya belumlah lama mana..belum lagi lusuh dan sepatutnya belum lagi jemu..walau apapun ketentuan Allah tidak dapat kita sangkal..jodoh pertemuan, perpisahan semua kerja Allah..sabar adalah kunci segala-galanya. Insya Allah kebahagiaan menanti akhirnya.

No comments:

Post a Comment