Click me :)

Sunday, 6 February 2011

JANGAN ANIAYA ANAK BILA BERKAHWIN LAGI

Cerita ini saya ambil dari ruangan Di Celah-Celah Kehidupan Mingguan Malaysia.. diharap pembaca menilai sendiri dan komen sekiranya mahu.
Begini ceritanya:-
WANITA ini menamakan dirinya sebagai Zurina sahaja, katanya dalam surat dan setelah menghubungi penulis melalui telefon, dia amat tertarik hati dengan kisah yang dipaparkan dalam DCCK beberapa minggu lalu tentang keghairahan suami yang berkahwin lebih daripada satu, atau yang seronok mempunyai kekasih.

Katanya dia tertarik dengan kisah-kisah tersebut sebab cerita seumpama itu memang ada kena-mengena sangat dengan diri dan masalah yang dihadapinya selama ini.

Menurut cerita Zurina bagi kebanyakan suri rumah tangga yang tidak pernah menghadapi masalah dalam perkahwinan terutama kalau suaminya baik, memang mereka tak faham tentang masalah dalam rumah tangga seperti ini.

Malah ada suri rumah yang meluat mendengar cerita wanita lain yang bermasalah, lebih malang lagi mereka akan menyalahkan wanita tersebut konon tak pandai jaga suami dan sebagainya. Tetapi setelah kena diri sendiri baru mereka faham.

"Macam saya dulu juga, ingatkan bila dah kahwin, suami itulah aja sampai mati. Rupanya baru saya sedar saya aja mahukan suami kita sampai mati, tetapi suami kita tak pernah fikir yang kita cuma seorang isterinya, dalam fikirannya isterinya akan ada sampai empat atau lebih. Sebab itu dia mahu berkuasa penuh atas isterinya, konon sahamnya lebih baik daripada wanita.

"Saya cakap dari pengalaman sendiri. Saya tak pernah fikir saya akan bercerai satu hari nanti, saya fikir Ali sahajalah suami saya sampai mati. Malangnya Ali tak berfikir sedemikian.

"Masa kami kahwin dahulu Malaysia sedang dilanda kegawatan ekonomi tahun 1986, memang sukar nak cari kerja, kerana pengajian saya unik walaupun cuma diploma saya mudah dapat kerja, dia masih penganggur di samping membuat perniagaan kecil-kecilan.

"Entah macam mana saya bertukar tempat kerja, maka ditakdirkan saya jumpa Ali, kerana selalu berhubung pasal kerja dan sebagainya, maka kami jatuh cinta, dan dia terus mengikut saya ke mana saja saya pergi, macam belangkas, nak jaga konon. Padahal nak kontrol. Bagaimanapun sebab tak manis sentiasa berdua-duaan keluarga suruh kami kahwin walaupun dengan hantaran tak sebanyak mana sebab dia tak ada kerja tetap.

"Kerana tak ada kerja tetap, semua urusan rumah sayalah yang uruskan, dari seorang anak sampailah dua, semua saya urus sendiri, hinggalah membeli sebuah rumah. Masa nak beli rumah dia suruh bubuh nama dia sekali. Kerana sayangkan suami, saya ikut cakapnya. Malangnya ketika dia mendapat kerja tetap ketika saya mengandungkan anak ketiga kami, dia langsung tak pedulikan masalah saya.

"Maksud saya bila dah ada kerja tetap uruskanlah rumah tangga takkan nak bebankan saya selamanya. Malangnya setiap kali saya kata dia jadi macam batu. Kerana tak sanggup dengar anak menangis tak ada susu saya terpaksa juga beli dengan duit sendiri, demikian juga ansuran rumah, duit upah orang jaga anak kita dan belanja pasar dan dapur.

"Sering kali saya minta dia bantu tapi dia tak peduli. Sebaliknya dia menyambung aktiviti luar rumah macam biasa, suka duduk kedai kopi konon nak dapat projek, cari kontek dan sebagainya, tetapi memang hobi suka buang masa.

"Ketika dapat kerja tetap dia jadi ego semacam, kononnya lebih banyak daripada gaji saya. Tetapi dia tak pula menghulur kepada saya, sebaliknya dia masih terus dengan aktivitinya cuma tempat duduk bertukar dari kedai kopi kepada coffee house, dari main dam ke main tenis dan golf. Pendek kata memang ego semacam. Lupa jasa saya selama ini membantu meringankan bebannya.

"Namun saya tetap bersabar, masa tak ada kerja saya sabar takkan dah kerja saya tak boleh sabar. Saya pujuk hati supaya tenang sambil berharap dia akan berubah untuk membantu meringankan bebanan saya.

"Malangnya kerana diam saya itulah dia dah naik setakuk. Dia mula berasmara dengan perempuan lain. Waktu kisahnya saya bongkar dia naik berang, katanya saya sekat kebebasannya. Saya tentu bimbang takut dia kahwin lain.

"Nasihat orang supaya saya bersabar, tetapi semakin saya sabar semakin menyangat kelakuannya, sering tak pulang ke rumah dan ramai yang jumpa dia berjalan dengan kekasihnya. Oleh kerana dia benci dengar nasihat saya, dia jadi seorang kaki pukul, kalau dulu dia pembengis saya faham kerana dia tak ada kerja, tetapi sampai memukul saya tak boleh sabar lagi, saya pun manusia. Takkan saya nak diamkan badan saya dipukul sesuka hati, kepala saya digoncang sekuat tenaganya yang besar itu, baginya tubuh badannya yang besar itu boleh menakutkan saya kalau bertindak melawan dan sebagainya.

"Ketika dilanda masalah macam-macam nasihat saya dengar ada kata sabar, ada suruh kita terus terang, kedua-dua cara saya ikut tapi semuanya gagal, akhirnya setelah bercinta lebih setahun dia kahwin juga, malangnya waktu dia kahwin saya tak tahu, saya masih terkial-kial mengamalkan nasihat orang supaya rumah tangga kita terus aman, malangnya, badan saya semakin teruk kena pukul akhirnya pada tahun 1996 baru saya tahu dia sudah kahwin selama empat tahun dan sudah ada seorang anak.

"Saya rasa amat tertipu dengan pembohongannya, patutlah bila kita nasihat seminggu dia tak balik rumah, bila minta duit dia kata dia kalau dulu saya sanggup kahwin dengannya mengapa sekarang minta duitnya.

"Dulu masa kahwin dia suruh saya pakai mini telekung dan baju kurung, lepas tu suruh pakai jubah. Dia tak izinkan saya pakai lipstik apa lagi bersolek ke pejabat, katanya haram, pakaian pun tak boleh warna cerah-cerah. Tetapi bila cari kekasih suka yang dedah-dedah dan yang seksi. Kelakuannya bertukar terus macam langit dengan bumi.

"Lepas tu sikapnya yang paling menyakitkan hati suka maki hamun tak tahu cakap perlahan, buka mulut aja terus menjerit dengan suaranya yang besar. Tujuannya bila bising kita malu dengan jiran dan tak marah dia lagi walaupun dia tak bagi duit atau dan tak balik ke rumah.

"Itu perangainya dengan isteri, dengan jiran pun lebih kurang, tak tahu berbaik dengan jiran, kawannya cuma di kedai kopi dan sekarang di coffee house. Member kutu dan kami mencarut serta video lucah.

"Kalau kita buat kenduri akikah, potong jambul anak dia suruh buat di rumah emaknya atau di rumah emak kita sebab tak ada orang surau atau masjid yang dia kenal untuk dijemput datang. Bila majlis dah selesai baru dia pulang nak makan.

"Dalam pada itu dia juga tak sukakan keluarga saya, tak suka ziarah ibu bapa serta sanak saudara saya di kampung, katanya keluarga saya penghasut dan pecah belahkan rumah tangga kami, yang sebenarnya, dia malu dengan keadaan dirinya, bila dah bekerja pula dia jadi sombong bongkak. Agaknya sebab itu Tuhan pendekkan rezekinya dulu.

"Bagaimanapun sebagai isteri kita boleh sabar pelbagai kelakuannya hinggalah dia kahwin lagi. Demikian dengan saya, saya ambil keputusan untuk bercerai dengannya walaupun ia memakan masa selama tiga tahun lebih baru dapat bercerai, jumlah turun naik Mahkamah Syariah tak terkira banyaknya.

"Walaupun susah bercerai, akhirnya berjaya juga, malangnya dengan anak tiga orang, hakim menetapkan bagi nafkah RM250 sebulan sahaja. Dengan wang itulah saya gunakan untuk hantar anak yang kecil ke nurseri, tambang bas sekolah dan belanja sekolah. Memang tak cukup sebab belanja nurseri dan susu untuk yang kecil saja berjumlah lebih RM250 sebulan. Minta lebih dia tak bagi, kadang tu dia buat gila langsung tak beri.

"Pada pandangan saya dia memang suami yang kejam mana cukup wang tersebut nak bela tiga orang anak. Tetapi bila minta lebih dia langsung tak beri, memang itulah perangai pembengis yang jadi amalannya, hilang semua alim yang cuba ditunjukkannya dulu.''

Demikian cerita Zurina tentang masalahnya semasa berumah tangga dan setelah menjadi ibu tunggal.

Sebenarnya ramai pembaca khususnya kaum lelaki tersalah faham tentang pandangan penulis terhadap suami yang berpoligami, ramai kaum lelaki memandang serong dan menganggap penulis antipoligami dan dicap sebagai bukan Islam konon menentang poligami. Tulisan dan pandangan ini banyak disuarakan dalam hotmail penulis.

Kita tidak perlu berbincang banyak tentang masalah ini, tetapi satu perkara penting yang saudara harus ingat, memang kahwin lebih itu hak orang lelaki tetapi saudara jangan nafikan hak isteri dan anak-anak mangsa cerai atau poligami tadi terhadap nafkah dan masa depan mereka adalah tanggungjawab saudara.

Jangan kurangkan hak mereka selepas saudara berkahwin lagi. Sebab terlalu ramai suami yang berkahwin lagi tidak pedulikan anak-anak mereka terdahulu, dan secara halus menyerahkan tugas itu bulat-bulat kepada ibunya.

Apakah itu adil? Saudara telah lupakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah sebaik sahaja anda diijab kabul dahulu.

Saudara boleh kahwin empat tetapi jangan nafikan hak anak-anak saudara terdahulu, mereka juga perlu hidup, perlu makan, perlu sekolah dan berpakaian seperti anak-anak orang lain. Jangan bebankan tugas menyara anak-anak kepada janda atau isteri tua anda.

Amat malang nasib bangsa kita yang sentiasa menderita kerana sikap yang tidak bertanggungjawab ini. Sampai bila bangsa kita boleh bangkit berlari, kalau sejak kecil mereka terpaksa berlutut meminta-minta bantuan, sedang kaum lain berlari mengejar kemewahan hidup, amat malang bangsa kita masih terkial-kial mencari arah yang tidak tahu di mana.

Insaflah jangan fikir nafsu sendiri untuk menganiaya anak-anak. Kalaupun jodoh anda sudah habis dan ditakdirkan saudara terpaksa juga berpoligami, jangan abaikan anak-anak saudara yang masih perlukan bantuan nafkah dan bimbingan.

Beri mereka nafkah. Mereka berhak atas rezeki yang saudara dapat datang dari Allah itu. Jangan aniaya hidup dan masa depan mereka.

Saudara boleh buang isteri, tetapi jangan buang anak-anak sendiri, saudara akan dituntut di akhirat nanti. Bagi saudara yang belum faham, itu adalah pandangan penulis terhadap poligami. Saudara boleh berpoligami sampai empat tetapi tolong beri makan anak-anak. Anak-anak saudara adalah penegak dan pejuang bangsa, negara dan agama pada masa akan datang. - e-mail: dcckmonaum@hotmail.com

No comments:

Post a Comment