Click me :)

Wednesday, 9 February 2011

Bersuami bukan macam beli ikan di pasar

KISAH Ratna minggu lalu yang mengingatkan mak cik-mak cik kepoh supaya jangan ambil kisah hal mereka yang masih belum berumah tangga walaupun usia sudah lanjut mendapat sambutan menggalakkan daripada pembaca, khususnya kalangan gadis sendiri. Pelbagai pandangan diberikan supaya golongan seangkatan mereka jangan mudah terikut-ikut dan cepat nak kahwin, sedangkan masa depan pasangan mereka masih tenggelam timbul.

Rata-rata mereka sokong Ratna dan menggalakkan gadis-gadis supaya mempunyai sikap memilih kerana memilih suami bukan semudah memilih pakaian di kompleks membeli-belah, kita kena tengok warna, potongan dan kesesuaiannya dengan kita, takkan kita nak beli saiz besar sedangkan kita bertubuh kecil saja.

Oleh kerana banyaknya pandangan yang begitu menarik sama ada melalui panggilan telefon atau

e-mel, maka minggu ini kita berikan peluang kepada golongan andalusia ini mencurahkan pandangan masing-masing, supaya kita faham isi hati mereka dan jangan mudah menuduh jika kita tak tahu sebabnya.

Salah seorang daripada mereka Lina, dalam e-melnya berkata, ``Saya tertarik hati dengan kisah Ratna keluaran minggu lalu. Saya belum pun 30 tahun sudah diajukan soalan ``Bila nak kahwin?'' Saya tak hairan kalau yang bertanya tu ahli keluarga sendiri. Mungkin mereka takut anak mereka digelar andalusia. Tapi yang menyakitkan hati jiran tetangga yang kaki sibuk. Bila kita jawab jodoh belum ada, mereka kata kita memilih.

``Lasernya mulut. Apa dia orang tak tahukah jodoh pertemuan ketentuan Allah. Kalaulah memilih suami tu semudah shopping di pasar malam, jam-jam ni saya nak kahwin! Nasihat saya pada kekawan seangkatan, biarkan mereka bertanya. Dan saya ingatkan mereka usah risaukan jodoh orang. Jaga masjid sendiri agar tidak goyang. Lain orang lain rezekinya. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada.'' Demikian pandangan Lina.

Cik Ram pula mengucapkan syabas kepada Ratna kerana mampu mempertahankan pendirian, dan pandangan Ratna tentang jodoh dan perkahwinan yang belum ditemui begitu tegas dan memberi kekuatan kepada mereka yang belum berkahwin lagi.

``Walaupun saya bukan andalusia tetapi peristiwa yang saya lalui sebelum bergelar isteri dulu amat memeritkan. Saya bertemu jodoh dan bernikah ketika berumur dekat 30 tahun tetapi ibu bapa, keluarga dan masyarakat melihat saya seolah-olah dah tak laku sangat. Mungkin kerana rupa paras saya tidak berapa cantik dan tinggal menyewa dengan rakan-rakan yang sudah berumur lebih 35 tahun.

Sementara itu Ros juga sependapat dengan Ratna sungguhpun tidak berpendidikan tinggi. ``Pada saya tolak ke tepi pandangan mak cik-mak cik kepoh ni, kadang-kadang tu mereka ingin menolong tapi tidak kena tempat. Islam menyuruh kita memilih. Jangan biarkan hak kita diperulikan oleh orang lain, orang perempuan banyak hak. Tak percaya buka al-Quran dan cari nas-nas yang khas untuk wanita. Semua suruh kita memilih.

``Saya sokong pendirian Ratna dan saya syorkan kepada gadis-gadis yang belum kahwin termasuk ibu-ibu tunggal jangan cepat termakan pujuk rayu sesetengah orang lelaki yang amat pandai mengambil kesempatan atas kelemahan dan kealpaan kaum wanita sendiri.

``Walaupun berada di luar negara, saya meminta, kita kaum wanita semua supaya berdoa semoga penindasan yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia membuka mata kita untuk bersatu dalam segala hal, insya-Allah.'' Demikian cerita Ros.

Sementara itu Zakay walaupun dari Australia turut terpanggil untuk memberikan pandangan dengan cerita Ratna, namun beliau berasa sedih kerana masih ada lagi cerita anak dara tua sedangkan wanita hari ini boleh berjaya dan berdikari. Mungkin takut tak kahwin mereka rosakkan diri dengan mengambil suami yang useless hingga menyusahkan diri, so might as well stay single.

``Sejak lima tahun saya duduk belajar di sini saya perhatikan satu perkara bahawa orang di sini dia tak peduli hal orang lain, you nak buat rambut purple ke, merah ke, subang sampai tak ada ruang kat telinga, nak pakai macam witch di tengah bandar pun tak siapa yang peduli asalkan dia tak kacau orang lain. Self confidance dan self esteem is very important daripada apa orang lain kata. Kalau nak fikirkan apa orang kata kita tak sampai ke mana pun, yang penting selagi perbuatan kita tak menyalahi agama,'' katanya lagi.

Sementara itu Zaini pula memulakan bicaranya dengan memetik kata-kata orang bijak pandai iaitu ``orang yang bijak belajar melalui pengalaman sendiri, manakala orang yang lebih bijak selalunya akan belajar daripada pengalaman orang lain dan orang yang bodoh adalah orang yang tidak belajar daripada pengalaman sendiri mahupun orang lain.''

``Saya berpendapat orang yang selalu mengikuti DCCK ini adalah orang yang paling bijak, lantas itulah DCCK ini diminati oleh pembaca akhbar nombor satu negara ini. Tidak keterlaluan juga disebutkan di sini bahawa saya membeli Mingguan Malaysia ini disebabkan ruangan DCCK ini. Kepada Ratna saya hormat pendirian anda tegas.''

Ain pula mendakwa dia dah lama berminat nak menulis, tetapi niat tak kesampaian, hinggalah dia membaca kisah Ratna membuatkan dia tergerak hati untuk menyokong. ``Sebabnya kalau Ratna digelar andalusia, saya pula digelar anak dara lapuk! Bunyinya kelakar tapi sangat menyakitkan jiwa. Sebelum itu biarlah saya kenalkan diri, berusia 25 tahun dan masih menuntut. Insya-Allah kalau tiada halangan semester ini merupakan yang terakhir dan kalau ada rezeki mungkin saya akan sambung ambil ijazah pula. Lapuk sangat ke saya ni kak? Tapi itulah kan, kalau gadis seusia saya masih tidak mempunyai boy friend ni, maka gelaran andalusia tu terus je melekat pada kami.

``Saya memang tension kalau ada rakan-rakan yang sengaja nak cari pasal kenalkan saya kepada seseorang lelaki. Bila ditanya tak mahu pula mengaku. Masalahnya kalau lelaki itu elok perangai tak apa juga, ini entah sapa-sapa. Lelaki ni pula kalau dah tau kita ala-ala tak laku, mulalah demand, berlagak macam la dia aje ada degree, ada kereta dan sebagainya. Kalau la betul kawan-kawan saya ini yang kononnya bersimpati dengan nasib saya yang masih solo ni, tolonglah bantu dengan cara yang bermaruah.

``Terus terang saya katakan, tugas mencari rezeki tugas suami, bukan isteri, melainkan si isteri itu rela hati dan ikhlas. Itu dah masuk bab lain la, tapi kalau dari awal lagi memang kita tahu bakal suami kita tak ada kerja tetap, buat apalah nak memperbodohkan diri. Saya tau ramai gadis di luar sana, sanggup berkahwin dengan sesiapa saja semata-mata takutkan title anak dara lapuk ni. Janji kahwin, yang lain-lain

tu belakang kira.

``Itulah pasal saya memilih, sedangkan nak beli

ikan di pasar pun kita kena pilih, inikan pula nak cari calon suami. Ikan kalau busuk boleh la kita buang, suami macam mana? Boleh buang macam itu saja. Kahwin dua, tiga bulan lepas tu rasa tak sesuai minta cerai, lepas tu kawin lagi. Rasa tak sesuai cerai lagi. Sampai bila? Itu pun kalau berani nak minta cerai, kalau jenis penakut pegang status janda tu, sampai matilah memendam rasa.

``Selain tu saya juga tak nafikan institusi kekeluargaan zaman ni tak macam dulu. Zaman ni ramai suami curang, suami kahwin curi-curi, suami tak bertanggungjawab dan banyak hal lagi menyebabkan

saya menjadi lebih berhati-hati.

``Dan zaman ini saya lihat ada semacam satu

trend pula, lelaki mencari bakal isteri terpelajar, berpendapatan lebih tinggi. Kak Mona cuba teka apa sebabnya? Dalam pada itu kawan-kawan perempuan menghadapi dilema wang gaji habis untuk teman lelaki mereka, setiap kali dating dipaksanya si gadis tu belanja dia. Apa dah jadi? Tapi kerana sayang punya pasal, dan takut kena tinggal, maklumlah umur dah banyak, maka kawan-kawan saya ni mengikut sajalah rentak teman lelaki mereka, ni yang saya gelarkan dayus. Minta maaf la kalau ada lelaki yang terasa dan baran dengan gelaran ini.

``Sebenarnya kami golongan yang lambat kahwin

ni bukanlah nak demand over sangat, tapi cukuplah kalau bakal suami tu ada pekerjaan tetap dan mampu menyara anak isteri serta mempunyai asas agama yang baik. Cuba tanya lelaki muda zaman sekarang berapa orang yang mampu mengendalikan tahlil arwah? Cuba fikirkan!

``Ada yang kata daripada seorang baik berdua! Ya betul tapi kalau berdua tu lebih banyak mengundang masalah dan derita saya rasa lebih baik sendirian. Kepada Ratna, saya rasa memang betul kata anda, biarlah jodoh kita lambat sedikit asalkan kita betul-betul berjumpa dengan orang yang berkualiti dunia dan akhirat.''

Demikian kata Ain dan beberapa pembaca lain termasuk seorang lelaki. Mungkin selepas membacanya mungkin anda lebih berhati-hati sebelum buka mulut tentang andalusia. - Maimunah.

No comments:

Post a Comment